![]() |
Apakah kita termasuk orang yang
merindukan kehadiran bulan Ramadhan? Jika ya, inilah keindahan bulan
yang kita sangat rindukan itu sedang bersama kita. Inilah detik demi
detik waktu yang kita lalui bersamanya.
Inilah :
- Masa-masa bahagia.
- Masa-masa semakin dekatnya jiwa bersama Allah swt.
- Masa-masa kedamaian.
Di mana ianya belum tentu kita temui ketika ia tidak bersama kita lagi.
Hiruplah dalam-dalam udara malam-malamnya.
Hiruplah dalam-dalam udara sahurnya.
Kita kini sedang berada pada hari-hari perpisahan yang sangat memilukan.
- Perpisahan dengan bulan mulia yang telah hadir bersama seluruh keindahan dan keistimewaannya bersama kita.
- Perpisahan dengan bulan yang paling dirindui yang keutamaannya tidak dapat dikalahkan oleh apapun yang terindah dalam hidup ini.
Jika Rasulullah saw bersabda :
"Barang siapa melakukan satu
ibadah sunnah dalam bulan Ramadhan, maka ia seperti orang yang
melakukan ibadah wajib di bulan selain Ramadhan. Dan barang siapa yang
melakukan ibadah wajib di bulan Ramadhan maka ia seperti orang yang
melaksanakan 70 ibadah wajib di selain bulan Ramadhan". (HR Ibnu
Khuzaimah)
Maka, berpisah dengan bulan ini bererti kita meninggalkan kesempatan
meraih pahala kebaikan yang berlipat kali ganda. Jika Rasulullah saw
bersabda :
"Ada dua kegembiraan bagi orang
yang berpuasa, kegembiraan saat berbuka dan kegembiraan tatkala
bertemu dengan Allah." (HR Bukhari dan Muslim)
Maka, perpisahan
dengan bulan ini, bererti terhapusnya dua momentum kegembiraan di kala
berbuka puasa itu. Jika Rasulullah saw bersabda :
"Barangsiapa yang berpuasa
kerana keimanan dan semata-mata mengharap pahala, niscaya diampuni
dosanya yang telah lalu. (HR Bukhari dan Muslim)
Maka, perpisahan
dengan bulan ini bererti hilangnya kesempatan kita untuk memperolehi
keampunan Allah swt terhadap dosa-dosa kita yang menggunung.
Jika Rasululah saw bersabda :
"Barangsiapa yang menunaikan
Qiyamullail pada bulan Ramadhan kerana keimanan dan mengharapkan
pahala, niscaya akan diampuni dosa-dosa-nya yang telah lalu." (HR
Bukhari dan Muslim)
Maka
selesainya kebersamaan kita dengan bulan Ramadhan adalah petanda
lenyapnya kesempatan kita untuk menunaikan solat malam dengan jaminan
pahala ampunan di atas dosa dan kekhilafan yang kita sudah tenggelam di
dalamnya.
Jika Rasulullah saw bersabda :
"Siapa sahaja yang solat
tarawih bersama imam hingga selesai, akan ditulis baginya pahala solat
semalam suntuk (HR Abu Dawud, At-Tirmizi, An-Nasai’e dan Ibnu Majah)
Lalu bagaimana dengan kualiti ibadah solat tarawih yang sudah kita lakukan?
Perpisahan dengan bulan suci ini bererti juga kita akan kehilangan pahala solat tarawih iaitu kehilangan pahala semalam suntuk.
Para salafussoleh, selama bulan ini berlumba-lumba memperbanyakkan membaca Al Qur’an.
Malaikat Jibril memperdengarkan Al
Qur’an kepada Rasulullah saw pada bulan Ramadhan. Utsman bin Affan
mengkhatamkan Al Qur’an setiap hari pada bulan Ramadhan.
Sebahagian salafussoleh mengkhatamkan
Al Qur’an dalam solat tarawih setiap tiga malam sekali, tujuh malam
sekali dan sepuluh malam sekali. Mereka sentiasa membaca Al Qur’an
samada di dalam solat ataupun di luar solat. Imam Asy-Syafi’ie dapat
mengkhatamkan Al Qur’an sebanyak enam puluh kali di luar solat dalam
bulan Ramadhan. Sementara Al-Aswad mengkhatamkannya setiap dua hari
sekali.
Qatadah sentiasa mengkhatamkannya
setiap tujuh hari sekali di luar Ramadhan, sedangkan pada bulan
Ramadhan ia mengkhatamkannya setiap tiga hari sekali manakala pada
sepuluh terakhir bulan Ramadhan ia mengkhatamkannya setiap malam.
Pada bulan Ramadhan, Imam Az-Zuhri
menutup majlis-majlis hadits dan majlis-majlis ilmu yang biasa diisinya
kerana semata-mata mengkhususkan diri membaca Al Qur’an dari mushaf.
Bagi Imam Ats Tsauri pula, beliau meninggalkan ibadah-ibadah lain dan mengkhususkan diri untuk membaca Al Qur’an.
Jika mereka demikian tingginya semangat
dan mujahadahnya dalam membaca Al Qur’an di bulan ini, maka bagaimana
dengan ibadah membaca Al Qur’an yang kita lakukan?
Apabila Ramadhan berlalu, ia bererti
kita pun kehilangan kesempatan agung untuk memperolehi barakah istimewa
dari membaca Al Qur’an di bulan ini. Jika Allah swt berfirman :
"Sesungguhnya Kami telah
menurunkannya (Al Qur’an) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah
malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan
(QS Al-Qadr : 1-3).
Rasulullah saw
sentiasa mencari malam Al Qadr dan memerintahkan sahabat untuk
mencarinya. Baginda membangunkan keluarganya pada malam sepuluh
terakhir dengan harapan mendapatkan Lailatul Qadr.
Dalam Musnad Ahmad dari Ubadah, Rasulullah saw bersabda:
"Barangsiapa yang bangun
sebagai usaha untuk mendapat Lailatul Qadr, lalu ia benar-benar
mendapatkannya, niscaya akan diampuni dosa-dosanya yang lalu dan yang
akan datang."
Jika kaum salaf dari
kalangan sahabat dan tabiin mandi dan memakai minyak wangi pada sepuluh
malam terakhir untuk mencari Lailatul Qadr, malam yang telah
dimuliakan dan diangkat darjatnya oleh Allah. Maka perginya bulan ini
dari sisi kita, bererti terlepasnya kesempatan yang tidak pernah
terbayar dalam seluruh hidup kita sekalipun.
Ia bererti, lenyapnya kesempatan kita
untuk memperolehi keuntungan 1000 bulan yang sangat jauh lebih lama
berbanding dengan usia kita sendiri. Oleh yang demikian :
- Jangan sia-siakan detik detik perpisahan ini.
- Rasakan benar-benar kehadiran kita di sini, di bulan ini.
- Lantunkan zikir, tilawah Al Qur’an, munajat, permohonan ampun di sini.
- Buanglah kepenatan, hilangkan rasa letih, dan paksalah diri ini hanya untuk hari-hari terakhir menjelang perpisahan dengan bulan yang penuh kemuliaan.
Kejarlah segala yang terluput dari diri kita sebelum ini pada malam Al Qadr dan jangan ditunda-tunda lagi.
Menangislah!!! kerana kita pun semestinya akan berpisah dengan bulan ini.
Ya Allah, kurniankanlah kepada kami
malam Al Qadr yang akan menjadi wasilah untuk kami mendapat keampunan
dariMu dari segala dosa-dosa samada yang besar atau kecil, yang awal
dan akhir, yang terang dan tersembunyi dan panjangkanlah umur kami
sehingga kami dapat bertemu lagi di bulan Ramadhan yang akan datang.
Ameen Ya Rabbal Alameen
Wasasalam...,

Tidak ada komentar:
Posting Komentar